Pengerusi Quick Ride Sdn. Bhd. (Quick Ride) dan Pengerusi Eksekutif Koperasi Amanah Pelaburan Bhd. (KAPB), Datuk Mohamed Ilyas Pakeer Mohamed berkata, mereka yang berminat hanya perlu membayar deposit RM1,000 selain bayaran pajakan harian RM45 untuk Proton Saga dan RM55 untuk Proton Persona.

Katanya, para pemohon yang berjaya perlu mengikat kontrak perjanjian selama tiga tahun dan dibekalkan dengan kereta baharu selepas tempoh berkenaan.

“Setakat ini kita sudah menerima beberapa ratus permohonan dan menyasarkan 1,000 kenderaan dipajak sehingga Januari tahun depan.

“Dalam dua hingga tiga tahun lagi, kami ingin sasarkan lebih 10,000 kenderaan dipajak, ” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran KAPB-Uber Quick Ride di Menara Berkembar Bank Rakyat di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd. (Proton), Datuk Ahmad Fuaad Kenali; Pengarah Kewangan Kumpulan Cartrade yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Quick Ride, Mohamed Fahmi Ilyas dan Penasihat Kanan Uber Asia Tenggara, Dali Sardar.

Quick Ride dikendalikan oleh Quick Ride Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang dibentuk di bawah KAPB dan Cartrade Group.

Syarikat Quick Ride pula bekerjasama dengan Proton dan Uber bagi menjalankan program tersebut.-UTUSAN ONLINE