
ILYAS pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KAPB kali ketiga.
![]()
PETALING JAYA: Koperasi Amanah Pelaburan Bhd (KAPB) merancang membuka hospital swasta yang dijangka beroperasi pada Disember 2018 atau awal tahun depan.
Beliau berkata, usaha itu akan dilaksanakan menerusi proses pengambilalihan sebuah hospital swasta yang terletak di kawasan yang strategik di Petaling Jaya.
“Berdasarkan permintaan dan keperluan semasa, kami sentiasa mencari peluang baharu dalam mempertingkat saiz dana pelaburan koperasi dan segmen ini adalah antara cabang yang berpotensi.
“Apa yang menarik, hospital baru ini bakal menggunakan model perniagaan dan menggunakan cara operasi hospital dari Amerika Syarikat (AS), sekali gus mampu mengubah landskap dalam sektor ini.
“Model hospital ini adalah dari New York dan buat masa ini kami hanya dapat mengesahkan mengenai pembukaannya dan pelaburan mengenainya masih belum didedahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KAPB kali ketiga di sini, hari ini.
Pada AGM itu, KAPB mengumumkan agihan dividen sebanyak 10 peratus kepada semua ahlinya, manakala prestasi kewangan 31 Disember 2017, mencatatkan perolehan berjumlah RM15.3 juta dan untung bersih RM13.8 juta.
Ilyas berkata, selain segmen kesihatan, KAPB turut meninjau untuk meneroka segmen media penyiaran dan bakal memperkenalkan saluran televisyen berkonsepkan hiburan dan komedi pada hujung tahun ini.
Menurutnya, meskipun landskap dunia media sedikit mencabar, namun dengan pengenalan konsep saluran itu, ia mempunyai potensi untuk mendapat permintaan oleh penonton dalam negara.
Katanya, pihaknya turut menjalin usaha sama dengan pakar dari industri iaitu Datuk Afdlin Shauki dan Datuk AC Mizal bagi menerajui pertumbuhan segmen pelaburan baru itu.
Sementara itu, katanya, koperasi pelaburan itu setakat ini mempunyai saiz dana lebih RM100 juta dan berhasrat untuk menambah kira-kira RM200 juta dana ke dalam dana sedia ada.
“Sebagai koperasi dengan kapasiti ahli sehingga 4,000 orang ketika ini, ia adalah penting kepada kami dalam mempertingkat saiz dana, seterusnya mampu menawarkan dividen yang lebih tinggi setiap tahun,” katanya.
KAPB mempunyai pelbagai portfolio pelaburan antaranya termasuk hartanah, automotif, perkhidmatan pembiayaan dan Ar-Rahnu.









