KUALA LUMPUR: Koperasi Amanah Pelaburan Bhd (KAPB) menawarkan RM2 bilion saham baharu untuk dilanggan oleh anggota sedia ada dan juga anggota baharu, yang terbuka untuk semua warganegara Malaysia.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Ilyas Mohamed, berkata setiap anggota akan menikmati pulangan sekurang-kurangnya lapan peratus setahun berdasarkan risiko terlaras ke atas petunjuk pelaburan dan kajian impak menurut rekod pulangan pelaburan KAPB yang tinggi selama ini.
Beliau berkata, sebahagian dana terkumpul itu akan digunakan untuk membiayai pembelian 51 peratus pegangan ekuiti pemilikan The Exchange 106, manakala sebahagian lagi untuk membiayai projek pembinaan universiti perubatan dan hospital baharu di atas tanah seluas 141 ekar di Serdang, Selangor.
Katanya, mereka yang berhasrat ingin menjadi sebahagian daripada bangunan tertinggi di Asia Tenggara, iaitu The Exchange 106, TRX dengan anggaran nilai pasaran semasa mencecah RM7 bilion dan sebuah hospital berkapasiti 400 katil serta universiti perubatan yang bertunjangkan teknologi canggih dan terkini daripada Amerika Syarikat (AS), boleh membuat permohonan dengan melayari laman sesawang atau hadir ke cawangan CIMB yang berdekatan di seluruh negara.
“Tawaran ini akan ditutup sebaik saja saham sebanyak RM2 bilion itu dilanggan sepenuhnya. Oleh itu, kepada warga Malaysia yang berminat, perlulah bertindak sebelum terlambat.”
“Untuk membuat permohonan sila ke sesawang KAPB di http://online.kapb.com.my/registration_member.asp,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan sama, beliau berkata, KAPB turut mengumumkan pembayaran dividen sebanyak lapan peratus akan dibuat kepada anggotanya bagi tahun kewangan 2020.
“Pembayaran dividen akan dilakukan serta-merta kepada semua pemegang saham,” katanya.
Sumber : https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2021/05/815557/kapb-tawar-saham-baharu-rm2-bilion