Koperasi Amanah Pelaburan Berhad (KAPB) hari ini melancarkan inisiatif Prihatin Palestin bagi membantu membina semula hospital dan masjid di Palestin yang musnah dalam siri serangan dilakukan oleh rejim Zionis.
Pengerusi Eksekutif KAPB, Datuk Mohamed Ilyas Pakeer Mohamed berkata, pihaknya menyasarkan sumbangan sebanyak RM20 juta daripada keuntungan pelaburan yang diperoleh bagi tujuan ini.
Katanya, bagi mencapai objektif ini, individu yang melabur dengan KAPB dalam tempoh inisiatif yang berlangsung bermula dari 1 Disember hingga 31 Mei 2024, akan turut menyumbang kepada Prihatin Palestin tanpa menjejaskan nilai pelaburan dan pulangan dividen mereka.
Katanya, inisiatif ini juga adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang seringkali dilakukan oleh KAPB.
“CSR tiap-tiap tahun kita buat, tetapi untuk masyarakat tempatan. Bagaimanapun, ini pertama kali kita lakukan dengan pihak luar negara iaitu Palestin,” katanya pada sidang medianya selepas melancarkan inisiatif itu di sini hari ini.
Hadir sama, Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali.
Mengulas lanjut, Mohamed Ilyas turut memaklumkan pihaknya akan menghantar empat kontena berisi selimut dalam masa dua minggu lagi kepada rakyat Palestin yang kini sedang mengalami musim sejuk.
“Kita nak hantar beberapa kontena selimut menerusi kerjasama Duta Palestin ke Malaysia dan Kedutaan Besar Malaysia untuk dihantar ke Gaza bagi menghadapi musim sejuk ini,” katanya.
Dalam pada itu, Walid pula menyatakan pihaknya menghargai sumbangan diberikan dan menyifatkan ia merupakan bantuan berterusan yang sedang diberikan oleh rakyat Malaysia kepada Palestin.
“Kami amat menghargainya. Apa yang anda tidak tahu adalah Palestin mempunyai empat musim. Musim sejuk bermula pada pertengahan Oktober dan sekarang ini amat sejuk di Gaza.
“Orang ramai kini hidup dalam gelandangan dan menderita dengan cuaca sejuk. Inisiatif menghantar empat kontena selimut ke Gaza ini kami akan koordinasikan dengan sebaiknya.
“Ia adalah salah satu bantuan segera dan kami akan edarkannya kepada mereka yang memerlukan di Gaza,” katanya.









